Wednesday 24 June 2015

.: Tips Tindakan Selepas Tamat Tempoh Praktikal :.

Bergantung kepada sesuatu kolej atau universiti atau mana-mana pusat pengajian, tempoh bagi menjalani latihan industri adalah berbeza-beza. Ada yang terpaksa menjalani internship selama 2 bulan, 4 bulan, 6 bulan dan seterusnya. Sebenarnya, semakin banyak bulan internship itu ditempuhi, semakin banyak ilmu dan suasana kerjaya dapat dirasai. Ada sesetengah daripada kita yang mendapat tempat intern yang best, ada juga yang mendapat tempat intern yang kurang best. Mungkin atas faktor-faktor seperti suasana kerja, layanan staf lama, kadar elaun, jarak tempat intern yang jauh dan sebagainya. Walau bagaimanapun, semua itu sebenarnya akan menjadi asam garam kehidupan kita apabila sudah mula bekerjaya kelak. Apa yang kita rasai ketika intern adalah suasana sebenar sebuah kehidupan bekerjaya dan pergaulan bersama masyarakat luar. 


Jika anda perasan, apa yang anda belajar di kolej atau universiti dulu takkan sama dengan apa yang anda dapat ketika menjalani internship selama berbulan-bulan. Saya yakin anda sudah mula menyedari hakikat kehidupan bersama masyarakat luar setelah bertahun-tahun 'menyorok' didalam kelompok mahasiswa di kolej atau universiti. Proses internship adalah satu proses pengenalan awal dan pembelajaran mengenai kerjaya dan dari sinilah sebenarnya anda akan mula bijak membuat keputusan demi masa depan anda. 

Insyaallah, dalam entri kali ini, saya akan cuba berkongsi serba sedikit mengenai tindakan yang harus anda lakukan sejurus selesai menjalani tempoh internship anda. Mungkin ada sesetengah daripada kita yang taktahu nak buat apa lepas habis intern. Mungkin ada juga yang berpendapat bahawa mereka ingin 'berehat' dahulu sebelum benar-benar memohon kerja. Mungkin selepas saja bergraduasi nanti, barulah anda bersungguh-sungguh untuk memohon pekerjaan. Tetapi, yakinkah anda bahawa diluar sana mudah terdapat lubuk rezeki untuk anda? Rezeki sememangnya ada dimana-mana dan semuanya datang dari Allah Jalla Wa'ala. Tetapi rezeki tidak turun dari langit sambil kita bersenang-lenang dan bergoyang kaki di rumah. Usaha dan tawakkal, itulah kunci utama dalam pemberian rahmat dan rezeki dari Allah SWT. Amat beruntung bagi mana-mana antara anda yang terus mendapat peluang pekerjaan sejurus tamat intern, mungkin kerana prestasi anda yang cukup bagus di tempat intern, maka anda ditawarkan terus sebagai pekerja tetap di sesebuah organisasi. Itulah dinamakan rezeki yang telah Allah tetapkan untuk anda hasil usaha anda bertungkus-lumus dan bersungguh-sungguh untuk belajar ketika menjalani internship.

Berikut saya senaraikan beberapa perkara yang perlu anda lakukan sejurus saja tamat menjalani internship. Saya kongsikan tips ini kerana saya tidak mahu anda melengahkan masa anda di rumah semata-mata sementara menanti hari graduasi. Bagi saya, mencari kerja selepas graduasi lebih menyukarkan anda kerana anda akan bersaing dengan beribu-ribu graduan lain diseluruh negara. Jadi, usaha dari sekarang!  

1. Mengemaskini CV/resume


Mengemaskini CV/resume perlu menjadi tindakan pertama anda sejurus tamat internship kerana resume ini sangat penting ketika permohonan kerja dibuat. Bahagian pengalaman kerja (experience) perlu dikemaskini supaya resume anda adalah yang terkini ketika memohon sesuatu pekerjaan. Usai intern, update bahagian experience dan senaraikan satu-dua aktiviti yang anda lakukan ketika menjalani internship (Tips Buat Resume).

2. Memanfaatkan internet dengan mencari maklumat kerja


Manfaatkan kemudahan internet untuk mencari maklumat dari segenap aspek mengenai syarikat-syarikat yang anda berminat untuk bekerja. Anda boleh melayari laman JobStreet yang sememangnya merupakan laman terbaik untuk anda membuat bancian terhadap kerjaya yang anda minati. Selain itu, taip saja di Google Search apa yang anda ingin tahu dan semuanya akan dibentangkan kepada anda tidak sampai sesaat! Mudah kan? 

Sebenarnya banyak cara yang anda boleh buat hanya dengan menggunakan internet ini. Semuanya di hujung jari. Saya dapat kerja lebih kurang 3 bulan sebelum bergraduasi dan hanya melalui Google Search! 

3. Menghantar permohonan kerja kepada syarikat-syarikat (email, byhand, etc.)


Jika anda sudah berkenan kepada mana-mana syarikat, bolehlah menghantar e-mail permohonan kerja anda (Tips Memohon Kerja Melalui E-mail). Usaha dulu, dapat tak dapat itu belakang cerita. Yang penting, banyakkan berdoa kepada Allah SWT agar usaha anda membuahkan hasil dan permohonan anda diterima dengan baik oleh bakal majikan. 

4. Banyak bertanya kepada saudara-mara, ibubapa dan rakan-rakan mengenai peluang kerjaya dimana-mana sektor


Banyak bertanya adalah antara langkah yang bijak ketika ingin memilih atau memohon kerja dimana-mana sektor/bidang yang anda mahu. Sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 216, mafhumnya :

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.

Dalam konteks ayat ini, kita mungkin benar-benar berminat untuk menceburi sesuatu bidang tersebut, tetapi boleh jadi ia tidak baik buat kita. Jadi, banyakkan bertanya kepada insan sekeliling anda supaya anda akan dapat buat kesimpulan yang jitu sebelum membuat keputusan akhir. Pandangan orang sekeliling adalah penentu kepada keputusan masa depan anda. Seperti contoh, kerja-kerja yang kudratnya hanya sesuai untuk lelaki, tetapi anda sebagai wanita sangat bercita-cita untuk menyertai kerjaya tersebut. Insan sekeliling menasihatkan agar anda mencuba kerjaya lain yang lebih sesuai dengan sifat seorang wanita yang lemah lembut dan mempunyai bentuk fizikal yang lebih halus dari lelaki. 

5. Elakkan dari terlalu memilih kerjaya - apa yang ada didepan anda, rebut!


Ini merupakan satu perkara yang sangat penting bagi para graduan yang bakal atau baru saja bergraduasi. Terlalu memilih kerja akan membuatkan anda terus kehilangan kerja. Kenapa saya berkata demikian? Ini kerana melalui pengalaman saya sendiri sebagai graduan Teknologi Kimia Industri, saya sepatutnya bekerja dibidang saya belajar dulu. Pada permulaan saya memohon kerja, saya banyak memohon bidang yang saya belajar. Tetapi, tawaran kerja yang saya dapat kebanyakkannya 'lari bidang'. Saya tanpa menolak, terus menerima tawaran tersebut. Ini kerana saya percaya inilah rezeki dari Allah SWT. 

Jika kita ditawarkan ke bidang yang lain dari kita belajar di kolej atau universiti dulu, sebenarnya Allah SWT menyediakan kita untuk mempelajari satu ilmu baru dalam kehidupan kita. Seharusnya peluang sebegini tidaklah dilepaskan oleh para graduan begitu saja. Sudahlah kerja susah nak dapat, boleh pula memilih kerja. Jadi langkahnya, terima saja dulu dan harungi bidang tersebut beberapa tahun sebagai satu pengalaman. Kumpul pengalaman kerja yang bisa mematangkan anda, dan selepas itu barulah anda cuba untuk kembali kepada bidang yang anda minati. Proses ini akan jadi lebih mudah kerana anda sudah ada beberapa tahun pengalaman kerja, kerana kebanyakkan syarikat-syarikat besar lebih cenderung untuk mengambil pekerja yang berpengalaman.

Ingat, jangan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran pula.

Lari bidang bila bekerjaya itu perkara biasa. Berapa ramai rakan-rakan saya yang ketika belajar bidang lain, bila kerja bidang lain. Jadi, usah takut. Rebut rezeki didepan anda!

6. Buat latihan temuduga depan cermin


Temuduga merupakan satu proses suai kenal antara majikan dan bakal pekerjanya sebelum majikan mengambil keputusan untuk memilih bakal pekerjanya . Proses ini berlaku secara formal dan penuh tertib. Resume hanya pengenalan ringkas tentang diri anda diatas sehelai kertas, tetapi temuduga adalah proses pengenalan yang lebih lanjut berkenaan diri anda. Sebab itu, ketika di kolej atau universiti, badan kaunseling selalu menganjurkan slot untuk mempelajari tips-tips temuduga. Slot-slot ini seharusnya anda ikuti supaya persediaan anda untuk menghadapi temuduga sebenar adalah lebih baik. Walaubagaimanapun, bagi yang tak pernah ikuti slot-slot sebegini, anda boleh taip apa saja berkaitan temuduga di laman YouTube dan Google untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tatacara temuduga yang boleh membuatkan bakal majikan impress dengan anda.

Saya ingin berpesan, jaga baik-baik first impression kepada bakal majikan ketika anda hadir temuduga. Ini sangat penting supaya bakal majikan yakin dengan cara anda. Banyakkan berlatih temuduga didepan cermin atau meminta salah seorang rakan anda berlakon menjadi penemuduga anda. Insyaallah, dengan persediaan yang jitu ini, anda layak diterima bekerja!

7. Kerjaya VS sambung belajar


Samada anda ingin terus bekerjaya atau sambung belajar, ianya terpulang kepada anda. Apa yang harus anda lakukan seusai tamat intern adalah merancang dan membuat keputusan terbaik dalam hidup anda. Banyakkan berbincang bersama para pensyarah mengenai peluang anda untuk sambung belajar dan bertanya insan sekeliling anda samada anda patut terus bekerja atau sambung belajar. Ada pro dan kon antara kedua-duanya dan pilihlah yang lebih banyak memberi kebaikan kepada anda. Lain orang, lain pandangannya.

Buat keputusan awal bagi mengelakkan anda terlambat dalam membuat keputusan demi masa depan anda. Buat keputusan selepas bergraduasi adalah langkah yang kurang bijak, jadi mulakan sesi perbincangan tersebut dari sekarang.

***
Alhamdulillah, usia pekerjaan saya kini sudah 10 bulan sejak mula bekerja pada Ogos tahun lepas. Saya telah melakukan kesemua 7 langkah diatas sebelum saya mendapat peluang kerja ini. Apa yang saya kongsikan ini mungkin berbeza dengan perkongsian orang lain. Ini kerana lain orang lain caranya. Saya hanya berkongsi pengalaman saya sendiri demi kebaikan adik-adik saya yang akan datang terutamanya adik-adik dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 

Insyallah, sesuai dengan peredaran masa, saya akan cuba berkongsi beberapa tips lain yang dirasakan penting dan bermanfaat untuk adik-adik diluar sana pada masa akan datang. Jika terdapat sebarang persoalan atau cadangan tips yang boleh dikongsikan, boleh terus menghubungi saya di 013-3087500 (whatsapp). 

:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::

~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~



Monday 15 June 2015

.: Tips Memohon Kerja Melalui E-mail :.

Memohon kerja melalui medium maya ; e-mail telah menjadi trend yang paling berkesan bagi mana-mana graduan seusai saja tamat pengajian di universiti. Mana tidaknya, medium teknologi ini saja yang dapat mendekatkan jarak yang jauh dalam jangka masa waktu yang singkat. Zaman dah berubah, semuanya dihujung jari. Yang berada di Kedah boleh saja memohon kerja di Melaka dalam tempoh kurang dari satu minit! Dapat atau tak, itu lain cerita. Yang penting ada usaha dan usaha tersebut perlulah dalam keadaan yang tekad dan bersungguh-sungguh.

Insyallah, dalam entri kali ini, saya ingin berkongsi mengenai tips memohon kerja melalui e-mail. Saya banyak menerima permohonan kerja melalui e-mail dan ada antara e-mail yang diterima tidak menunjukkan bahawa si penghantar e-mail benar-benar ingin memohon kerja. Sikap acuh tak acuh ini membuatkan peluang anda untuk mendapat pekerjaan sangat tipis. Pendek kata, first impression itu penting bagi sesetengah majikan walaupun belum melihat si pemohon secara mata kasar. Tersilap di permulaan, habislah dikesudahan. Tapi tak semua majikan bersikap begini. Jadi, jalan selamat adalah dengan mengambil langkah berhati-hati dalam setiap tindakan, termasuk dalam urusan memohon kerja melalui e-mail.

Berikut saya senaraikan beberapa kesalahan yang kerap dilakukan oleh kebanyakan graduan yang memohon kerja melalui e-mail. Dah sedar kesalahan, harap dapat dibaiki pada permohonan akan datang. 

Kesalahan 1 : Menghantar e-mail ke beberapa syarikat sekaligus

Ketika e-mail seperti ini sampai ke inbox saya, saya kaget. Saya mula berfikir, ' budak ni nak apply company mana ni? semua tersenarai ni...'. Saya yakin syarikat-syarikat lain yang menerima e-mail ini akan berfikir sama seperti saya. Tindakan anda ini akan membuatkan syarikat-syarikat yang anda mohon mengambil langkah untuk tidak mempedulikan e-mail anda kerana mereka akan membuat telahan ,'...banyak lagi company boleh ambil dia...', itupun kalau ada yang ambil. Kalau takde? 

Jadi, langkah selamat adalah anda menghantar e-mail secara berasingan dan spesifik. Jika terdapat 12 syarikat yang anda berkenan untuk memohon kerja, maka anda harus menghantar 12 e-mail kepada syarikat-syarikat tersebut. Jangan malas, make it worth! elakkan bersikap acuh tak acuh. Masa depan ditangan anda.

Kesalahan 2 : Tajuk e-mail tidak spesifik, ayat tidak lengkap atau tiada ayat

Cuba lihat pada tajuk e-mail diatas. Jika anda menerima e-mail seperti ini, apa yang anda akan lakukan? Tajuknya takde, ayat pula sekadar memberitahu ada attachment resume jika terdapat sebarang kekosongan jawatan di syarikat kita. Jelas e-mail seperti ini tidak ada ciri kesungguhan dalam memohon pekerjaan. Sekadar melepaskan batuk ditangga. Dari sini majikan boleh mengesan bahawa anda bukanlah seorang yang komited dalam tugas dan jika diberi tugas sekalipun, anda akan melaksanakan tugasan tersebut secara sambil lewa. Ingat, first impression!

Jadi, solusinya, anda haruslah menyatakan tajuk yang spesifik supaya majikan boleh mengetahui tujuan e-mail anda hanya dengan membaca tajuk e-mail. Contoh tajuk yang spesifik ; Job Application for Petroleum Engineer. Sebutkan nama jawatan yang anda pohon supaya majikan tahu anda benar-benar berminat untuk mengisi kekosongan tersebut berbanding jika anda menyatakan secara umum jika terdapat sebarang kekosongan. Karanglah ayat seperenggan dengan susunan ayat yang cantik supaya majikan boleh tertarik dengan kata-kata anda. Diakhir penulisan ini, saya akan tunjukkan antara contoh permohonan kerja melalui e-mail yang baik.

Kesalahan 3 : Saiz tulisan (font) yang kecil dan tak sama

Masih boleh baca, tapi saiz tulisan yang agak kecil dalam ayat e-mail sebenarnya menyukarkan sesetengah majikan terutama majikan yang sudah berusia. Apa salahnya besarkan sedikit tulisan tersebut supaya semua golongan dapat membacanya tanpa sedikit pun terganggu. Tajuk dan ayat dalam e-mail serta attachment dah bagus, saiz tulisan je perlu dibesarkan sikit.



E-mail ini hampir 90% bagus, tetapi slack bab saiz tulisan yang tak sama antara perenggan pertama dan kedua. Keselarasan saiz tulisan sebenarnya menggambarkan betapa anda seorang yang tetap pendirian dan konsisten dalam melaksanakan sesuatu tugasan yang diberikan. Ini juga antara kesalahan yang perlu dielakkan ketika memohon kerja melalui e-mail

Kesalahan 4 : Menghantar permohonan kerja menggunakan handphone




Dua contoh diatas adalah antara kesalahan yang kerap saya temui ketika menerima e-mail permohonan kerja menggunakan handphone. Saya yakin syarikat-syarikat lain juga pernah menerima e-mail seperti ini. Saya anggap mereka yang menghantar e-mail seperti ini hanya nak tunjuk betapa mahalnya handphone mereka, bukan betul-betul nak memohon kerja. 

Apa kesalahan menggunakan handphone? Ia jadi salah apabila anda tidak mengaplikasikan cara yang betul ketika membuat permohonan kerja melalui e-mail. Sekalipun menggunakan handphone, anda haruslah menulis tajuk yang spesifik dan sedikit ayat pengenalan dan tujuan anda menghantar e-mail. Tak salah guna handphone, tetapi formaliti ketika memohon kerja tetap terpakai dan tidak boleh diabaikan.

Kesalahan 5 : Menghantar e-mail menggunakan alamat e-mail 'kebudak-budakan'



Nak memohon kerja, tapi alamat e-mail masih 'kebudak-budakan'. Sudah tiba masanya anda menggunakan alamat e-mail yang lebih matang dan sesuai dengan peringkat umur anda. Alamat e-mail yang baik adalah alamat e-mail yang menggunakan nama sebenar anda dan bukanlah nama watak kartun, ahli gusti, artis, drama TV, gelaran tertentu dan sebagainya. Seperti contoh diatas, ayat dalam e-mail dah cukup baik dan boleh jadi contoh kepada orang lain, tapi alamat e-mail tersebut boleh membuatkan majikan jadi 'takut'. Sesetengah majikan sangat menekankan bab seperti ini walaupun kecil. Jadi, cara selamat, buatlah satu e-mail baharu yang menggunakan nama anda sendiri untuk menghantar e-mail permohonan kerja.

Kesalahan 6 : Menyatakan sebab anda tidak bekerja kepada bakal majikan

Rasanya tak perlulah anda menyatakan sebab mengapa anda masih tidak bekerja melainkan apabila ditanya sendiri oleh bakal majikan tersebut. Tindakan seperti ini sebenarnya memberikan imej yang buruk kepada syarikat yang pernah anda bekerja dan membuatkan syarikat tempat baharu memandang negatif terhadap anda. Tak mustahil apabila anda berhenti bekerja di tempat baharu nanti, anda akan melakukan perkara yang sama ketika memohon kerja di tempat lain. Jadi, cuba elakkan memberikan sebab yang terlalu spesifik yang akan menjatuhkan potensi anda untuk mendapat peluang pekerjaan. Cukuplah anda menyatakan kesudian dan minat anda untuk memohon kerja di syarikat tersebut.

Kesalahan 7 : Dokumen permohonan kerja yang tak lengkap

Kalau anda perasan, di setiap gambar yang saya attach dalam entri kali ini, kebanyakkannya tidak melampirkan dokumen yang lengkap bagi tujuan memohon kerja. Ini adalah antara kesilapan yang paling kerap dilakukan oleh para graduan universiti. Ketika memohon mana-mana kerja, dokumen-dokumen ini perlulah lengkap supaya permohonan anda boleh dipilih oleh bakal majikan :

1. Cover Letter - bagi menyatakan tujuan anda memohon kerja dan menceritakan serba sedikit pengalaman dan kelebihan anda (elakkan memburukkan syarikat lain).
2. CV / Resume - ringkasan tentang diri anda supaya majikan dapat mengenali anda secara kasar (Tips Buat Resume).
3. Sijil-sijil Berkaitan (jika diminta)

Dokumen no. 1 dan 2 itu wajib dilampirkan dalam setiap e-mail permohonan kerja. Dokumen no. 3 adalah optional. Jika diminta oleh bakal majikan, barulah anda melampirkan sekali sijil-sijil tersebut.


Contoh-contoh permohonan kerja melalui e-mail yang baik


Contoh pertama ini saya bagi markah 100% kerana si pemohon ini memenuhi semua ciri-ciri e-mail permohonan kerja yang baik. Beliau menyatakan secara spesifik jawatan yang ingin dimohon dalam tajuk e-mail, kemudian beliau melampirkan cover letter dan resume, seterusnya mengarang sedikit ayat pengenalan diri. 
Cukup lengkap dan sangat baik. 

Contoh-contoh yang lain dibawah, saya bagi markah 90 % saja. Masih contoh yang baik cuma ada kekurangan dari segi tajuk e-mail dan ketiadaan cover letter.







Saya berharap agar mesej yang saya cuba sampaikan ini dapat diambil cakna oleh bakal atau para graduan universiti yang ingin memohon pekerjaan seusai tamat pengajian nanti. Sudahlah kerja susah nak dapat, ditambah pula e-mail permohonan yang tak bersungguh, maka lahirlah ramai penanam anggur yang berjaya. Saya cuma berkongsi pengalaman saya sendiri dan sekadar nasihat mewakili semua majikan bagi mana-mana syarikat di Malaysia ini. Walaupun majikan tersebut jenis yang sempoi bersahaja sekalipun, formaliti itu terpakai ketika memohon pekerjaan. Semoga anda beroleh manfaat dari perkongsian ini dan semoga Allah SWT menerima usaha kecil ini.


:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::

~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~

Monday 18 August 2014

.: Tips Memilih Tempat Praktikal - Ubaydullah :.

Kebiasaannya, sesetengah IPTA/S akan menghantar para pelajarnya untuk menjalani latihan industri (praktikal) di akhir semester pengajian mereka. Namun, ada juga IPTA/S yang menghantar pelajarnya menjalani praktikal di pertengahan semester dan setelah selesai tempoh praktikal, mereka akan kembali semula ke IPTA/S berkenaan untuk meneruskan pengajian. Ada sisi pro dan kon nya jika dilaksanakan praktikal dipertengahan semester dan di akhir semester. Bagi ana, praktikal di akhir semester pengajian adalah lebih relevan kerana didalam tempoh ini, para pelajar sudah merasai keseronokan berbakti kepada masyarakat luar dan sepenuhnya dapat mengaplikasikan segala ilmu yang telah dipelajari sepanjang tempoh pengajian mereka.

Insyaallah, kali ini, ana akan berkongsi tips memilih tempat praktikal. Tips-tips yang ana kongsikan pada entri kali ini dan entri-entri sebelumnya bukanlah bermakna semuanya betul dan ana yang terbaik. Ana niatkan khusus untuk perkongsian berdasarkan pengalaman yang telah ana tempuhi sebelum ini. Pengalaman-pengalaman ini lah yang menjadi 'guru' ana untuk terus menapak ke hadapan dan membina potensi diri. 

***

Sebelum anda memulakan proses memilih tempat praktikal, pastikan anda sudah mengemaskini resume anda bagi memudahkan urusan permohonan yang akan berlaku dalam beberapa tahap bergantung kepada sistem yang telah IPTA/S anda laksanakan. [Tips buat Resume].

Jadi, ana akan teruskan dengan tips-tips memilih tempat praktikal :



1. Sistem Latihan Industri (e-LI)

Ada sesetengah IPTA/S menyediakan sistem Latihan Industri (e-LI) untuk kemudahan anda memohon tempat praktikal. Pihak yang menguruskan sistem e-LI ini akan menjadi medium pengantara antara anda dan industri. Anda hanya perlu memasukkan butiran diri dan resume kedalam sistem dan ikuti langkah seterusnya seperti yang diminta melalui sistem tersebut. Proses pemilihan tempat praktikal melalui sistem ini memudahkan anda mencari tempat praktikal yang bersesuaian dengan bidang anda.  Lazimnya, senarai tempat praktikal yang ada dalam sistem adalah yang telah berdaftar dengan IPTA/S tersebut - senang cerita, tempat-tempat tersebut pernah menjadi tempat praktikal senior-senior yang lepas. Jadi, kalau taknak pening-pening kepala nak buat surat cover letter bagai, mohon lah melalui sistem dan duduk diam-diam sambil goyang kaki (sarcasm).



Tapi, jujurnya, walaupun ia kelihatan mudah dan canggih (sebab ada IPTA/S yang tidak menyediakan sistem e-LI ini), tapi permohonan tempat praktikal melalui cara ini memakan masa berbanding jika anda membuat permohonan terus kepada tempat praktikal anda. Satu kelebihan memohon terus, anda akan dapat pendedahan secara langsung bagaimana nak memohon kerja pada masa akan datang, dan majikan akan terus mendapat surat permohonan anda tanpa ada halangan lain.

Ana praktikal dulu guna cara direct approach saja. Sistem lambat. Tapi bila dah dapat tempat praktikal secara manual ( dalam sistem tak didaftarkan), maka anda perlu mendaftarkan tempat praktikal tersebut kedalam sistem untuk kemudahan junior-junior akan datang.



2. Dekat dengan jurusan pengajian

Sebaik-baiknya, carilah tempat praktikal yang kena dengan kos pengajian anda. Ini dapat membantu anda mengaplikasikan sepenuhnya segala ilmu yang telah dihadamkan bertahun-tahun sebelum ini. Ada IPTA/S yang tak kisah jika anda berpraktikal terpesong dari kos pengajian, ada juga yang kisah. Jadi, langkah selamat, pastikan tempat praktikal anda benar-benar menyediakan praktikal yang sememangnya kena dengan kos anda. Kalau terpesong pun, sikit-sikit cukuplah. Sebab, praktikal ada penilaian akhir oleh pensyarah. Jangan sampai ditanya, ' apa kaitan antara apa yang kamu dapat kat sini dengan kos pengajian kamu? Macam mana kamu nak hubungkaitkan kedua-duanya? '. Kalau boleh jawab takpa. Kalau dah blur tu, masaklah jawabnya. Kalau dapat soalan macam ni, dah konfem lah anda terpesong. Kalau kerja, lain cerita.

Kalau dalam tempoh praktikal anda menunjukkan potensi kerja yang baik, tak mustahil majikan tempat praktikal anda akan berminat untuk terus menggaji anda dan bekerja di tempat tersebut. Jadi, usahalah cari tempat praktikal yang ada potensi untuk anda terus bekerja disana seusai tamat tempoh praktikal.

Hati-hati juga dalam memilih tempat praktikal. Ada syarikat yang ambil pelajar praktikal hanya untuk melakukan kerja-kerja pejabat seperti buat air, fotostat dokumen, taip dokumen, jadi posmen hantar dokumen dan sebagainya. Kalau ada tempat praktikal yang minta anda buat kerja-kerja sebegini (konfem bukan dalam skop tugas dan bidang), lebih baik anda berhenti dan cari tempat praktikal yang lain. Kalau sikit-sikit boleh la nak bantu, ini kalau sepanjang tempoh praktikal kena buat kerja macam tu, tak ke naya?




3. Dekat dengan rumah

Samada nak cari tempat praktikal yang dekat dengan rumah atau tidak, itu terpulang kepada anda. Namun kelebihan praktikal dekat dengan rumah adalah lebih banyak dari kekurangannya. Ana melihat jika praktikal dekat dengan rumah, dasar penjimatan yang bakal dilakukan adalah sangat tinggi. Anda dah jimat dari membayar rumah sewa, beli makanan luar setiap kali tiba waktu makan dan sebagainya. Kalau tempat praktikal tawar elaun tinggi takpelah. Kalau yang takde elaun langsung macam mana? Kan dah susah, lagi-lagi yang berpraktikal dikawasan pesat membangun seperti KL. Ana dah rasa praktikal di KL dan sesaknya bila takda duit nak makan.

Praktikal dirumah, hari-hari akan dijamu dengan masakan ibu tercinta. Masa ni lah nak berbakti lebih kat ibubapa setelah beberapa tahun menjauh demi menimba ilmu. Namun, terpulanglah kepada anda dalam membuat pemilihan.
  


5. Satu tempat dengan kawan baik

Takde masalah kalau nak satu tempat dengan kawan baik, tapi perlu diingat bahawa tempat praktikal tak semestinya akan ambil ramai-ramai satu masa. Jadi, bersedialah untuk 'berpisah' dengan kawan baik anda dalam tempoh ini. Lebih baik cari tempat praktikal untuk diri sendiri terlebih dahulu tanpa memikirkan kawan anda, dan jika dapat mana-mana, tanyakan bos di tempat praktikal samada nak pakai lebih dari seorang pelajar praktikal atau tidak. 

Jika bos nak pakai lebih, inilah peluang anda untuk berpraktikal sama-sama dengan kawan anda - tips ini untuk golongan wanita sahaja. 

Ada ke lelaki jenis macam ni? Kalau ada, boleh amalkan juga tips ini.



6. Tanya pandangan orang lain

Dalam tempoh yang diperuntukkan untuk mencari dan memohon tempat praktikal, ' banyak bertanya ' adalah kunci yang paling efektif bagi membuatkan anda benar-benar bersedia untuk melangkah ke alam pra-kerjaya. Banyakkan bertanya pandangan orang lain terutama para pensyarah dan senior-senior untuk mendapatkan pencerahan dan visual tentang kehidupan di alam pekerjaan didalam bidang yang anda ceburi. Berpraktikal tanpa memahami budaya dan suasana kerja takde masalah, cuma anda akan merasa sedikit kejutan budaya.

Lebih baik anda bersiap siaga terlebih dahulu sebelum berjuang di wadah yang lebih luas.


7. Manfaatkan 'Google Search' untuk mengkaji

Maklumat kini dihujung jari. Taip apa saja, maka berjuta-juta maklumat akan sampai kepada anda dalam tempoh beberapa saat. Kuasa teknologi haruslah dimanfaatkan sebaiknya demi kemaslahatan masa depan anda. Ana banyak guna Google untuk cari tempat praktikal dan maklumat tentang tempat praktikal yang bakal ana kerja nanti. Dari situ, anda akan lebih faham apa skop tugas syarikat tempat praktikal anda dan apa yang boleh anda sumbangkan demi pembangunan syarikat tersebut. 



Kajian demi kajian harus dilakukan sebelum anda membuat pemilihan keatas mana-mana tempat praktikal. Jangan bila dah masuk berpraktikal, hati mula tak berkenan, kemudian tukar tempat praktikal. 



8. Elaun sara diri

Kebanyakkan tempat praktikal akan menyediakan elaun sara diri untuk para pelajar praktikalnya, cuma bezanya banyak atau sedikit. Kalau praktikal di sektor kerajaan, anda akan menerima samada sebanyak RM15 sehari atau tiada langsung. Jumlah RM15 sehari ini adalah selaras dimana-mana sektor kerajaan dan telah diperakukan dalam pekeliling kerajaan dalam pengambilan pelajar latihan industri. Kalau sektor swasta, banyak lah sikit elaunnya, itu pun kena tengok company juga. Kalau company besar-besar, insyaallah elaun sara diri anda juga besar. 

Makanya, kalau ditakdirkan anda mendapat tempat praktikal jauh dari rumah dan tidak ditawarkan sebarang elaun, anda akan bergantung sepenuhnya dengan duit ibubapa anda. Berbanding jika anda tidak ditawarkan elaun dan berpraktikal dekat dengan rumah, dasar penjimatan yang bakal anda alami adalah tinggi dan tidak merugikan.


***

Tips-tips ini adalah sebahagian daripada pengalaman ana sendiri dan tidak semestinya perlu diikuti. Segala pilihan adalah di tangan anda, dan ana yakin anda mampu memilih yang terbaik untuk diri anda.


Selamat Memilih. Salam Perjuangan.


:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~

Monday 11 August 2014

.: Kerjaya HSE : Antara Pilihan dan Halangan :.


Entri kali ini, ana akan berkongsi pandangan dari seorang pakar proses kimia (chemical process) dari India berkenaan kerjaya dalam bidang Health, Safety & Environment (HSE)
Bagi sahabat-sahabat yang berminat untuk menceburi bidang HSE ini dan tidak tahu apa kelayakan dan bagaimana nak mulakan, insyaallah saya akan kongsikan selepas anda membaca pandangan pakar proses kimia ini.

Pandangan pakar ini ana kutip dari laman web Cheresources.com - Your Chemical Engineering Community.

...............................................

" Sebelum saya mulakan perkongsian ini, saya ingin memaklumkan kepada semua pembaca blog saya bahawa saya hanya ada sikit saja ilmu yang berkaitan Health, Safety & Environment (HSE) tetapi saya bukanlah orang yang profesional dalam bidang ini.


Disalah satu syarikat tempat kerja saya yang lepas, ada dua jabatan kejuruteraan yang terpisah. Satu jabatan dinamakan Jabatan Kejuruteraan Proses (Process Engineering Department), ada 15 jurutera proses (process engineer) yang diketuai oleh saya. Satu lagi jabatan dinamakan Jabatan Kejuruteraan HSE (HSE Engineering Department) yang cuma ada 3 orang jurutera. Jabatan Kejuruteraan HSE di syarikat tempat kerja saya itu jenis 'stand-alone' bila buat kerja, tetapi terpaksa buat kerja yang banyak dalam satu-satu masa. Jadi, saya pun pinjamkan beberapa orang process engineer saya kepada Jabatan Kejuruteraan HSE. Ramai process engineer masa tu muda-muda dan kelihatan kurang berminat nak buat kerja-kerja kejuruteraan HSE. Mereka menganggap kerja dalam bidang HSE ini menjejaskan masa depan karier mereka.


Demi membaikpulih keadaan dan memperbetulkan persepsi, apa-apa keraguan berkenaan peranan dan kepentingan seorang HSE engineer, saya terpaksa memberi mereka ceramah panjang berkenaan kebaikan dan manfaat bekerja didalam bidang HSE ini, walaupun saya sendiri kurang mahir dalam bidang ini.

Entri blog saya hari ini akan menceritakan berkenaan peranan dan kepentingan seorang HSE engineer dalam industri proses kimia (chemical process industry).


Kita mulakan dengan kelayakan akademik yang diperlukan untuk menjadi seorang HSE engineer. Secara idealnya, ijazah dalam bidang kejuruteraan kimia (chemical engineering) merupakan jalan terbaik untuk memulakan karier sebagai HSE engineer. Jika ada Master, Diploma atau sijil kursus dalam kejuruteraan HSE dari universiti atau institut yang diiktiraf, ia menjadi satu kelebihan. Untuk jurutera kimia muda, ini adalah platform terbaik untuk anda belajar dalam bidang kejuruteraan HSE dan menjadi seorang HSE yang profesional pada masa hadapan.

Soalan pertama yang akan membelenggu otak mana-mana engineer adalah, apa ganjaran dan kelebihan menjadi seorang HSE engineer ? Saya ingin memaklumkan bahawa sehingga hari ini, HSE engineer adalah antara salah satu kerjaya yang mendapat bayaran gaji lumayan dan menjadi kerjaya profesional yang disegani dalam chemical process industry. Kenyataan ini adalah benar dan terpakai terutama dalam industri seperti minyak dan gas huluan (upstream oil  & gas) dan penapisan (refining).

Di negara-negara Barat, HSE menjadi bidang kerjaya yang diberikan keutamaan tertinggi dan menerima bayaran gaji premium. Kesedaran tentang kepentingan HSE semakin meningkat di beberapa negara di dunia. Akta dan peraturan berkenaan HSE dilihat semakin ketat. Ini membuatkan kerjaya sebagai HSE engineer semakin mendapat tempat dan menerima permintaan yang tinggi disebahagian negara, sedangkan pada awalnya bidang ini dipandang remeh. Ringkasnya, hari ini, HSE engineer telah mendapat pengiktirafan sebagai salah seorang ahli penting dalam global engineering community.

Soalan kedua yang biasa muncul dari mana-mana minda engineer adalah, apakah tugas-tugas yang dilakukan oleh seorang HSE engineer ?. Walaupun saya bukanlah seorang yang profesional, tapi saya ingin menyenaraikan apa yang dilakukan oleh seorang HSE engineer didalam bidangnya ;


1. Fire & Gas Detection Philosophy

2. Fire & Gas Detection Equipment Layout

3. Firewater and Foam Protection Systems

4. Firewater & Foam Demand Calculations

5. Portable Systems for fire protection

6. Passive Fire Protection Systems

7. Safety Plan

8. Escape Route Plan

9. Risk Assessment (Qualitative and Quantitative)

10. Layers of Protection Analysis (LOPA) Studies 

11. Hazard Identification (HAZID) Studies 

12. Hazard & Operability (HAZOP) Studies

13. Dispersion Analysis for heat radiation and toxic chemicals using advanced dispersion software such as DNV PHAST and SHELL FRED. 

14. Environmental Impact Assessment 

15. Safety Integrity Level (SIL) Studies 


Tugas-tugas yang disenaraikan diatas sebenarnya masih umum, namun jika dibincangkan secara spesifik, lebih banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh seorang HSE engineer. Satu tugas yang dibawa oleh HSE engineer untuk maju kehadapan adalah brtugas sebagai fasilitator HAZID atau HAZOP, dimana ilmu dan kemahiran komunikasi mereka akan teruji. Saya kenal beberapa orang freelance HSE experts yang sibuk mengendalikan kursus HAZID dan HAZOP selama beberapa tahun dan menghasilkan banyak wang dari usaha mereka.

 Sebagai kesimpulannya, HSE engineer adalah salah satu kerjaya yang menjanjikan pendapatan lumayan dalam chemical process industry dan saya ingin menasihatkan kepada para jurutera muda, jika mereka ada peluang untuk mengambil HSE engineering sebagai pilihan kerjaya sepenuh masa, mereka sepatutnya merebut peluang itu dengan kedua-dua tangan mereka.

Yang Benar,
Ankur. 

...............................................

Dah puas baca pandangan diatas? 

Walaupun pandangan beliau banyak merujuk kepada HSE engineer, namun bagi ana, beliau bercakap tentang HSE secara keseluruhannya. HSE terpakai di semua industri, bukan sekadar didalam industri minyak dan gas saja, atau industri proses kimia. Cakupan HSE sangat luas, tetapi terikat dengan akta-akta dan peraturan yang harus dipatuhi berdasarkan standard-standard yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Kalau nak cerita apa itu HSE, memang takkan habis. Anda boleh tanya Bro Google untuk mendapatkan gambaran apakah itu HSE dan bagaimana ia berfungsi di mana-mana industri. Dah dapat gambaran, barulah fikir semula samada anda ingin meneruskan untuk menceburi bidang ini atau tidak.

Ana merupakan lulusan Sarjana Muda Teknologi Kimia Industri. Sepatutnya tempat kerja ana sekarang adalah di makmal-makmal kimia, menjalankan eksperimen dan analisis.Tetapi disebabkan jiwa ana kurang ngam untuk terus berada dan bekerja di makmal, ana cuba untuk beralih arah sedikit keluar dari kepompong makmal. Ana mula berminat untuk pergi jauh dalam industri Oil & Gas, kalau boleh nak latih diri untuk jadi petroleum engineer, atau reservoir engineer. Lebih dekat dengan suasana Oil & Gas itu.

Menyedari bahawa jurusan kimia ana tidak banyak menyentuh asas-asas engineering ( engineering banyak belajar guna software dan buat calculations), maka terasa tipis untuk bergelar seorang jurutera petroleum - melainkan dengan usaha luar biasa ( sambung belajar bidang engineering pula).

Allah SWT jua yang menentukan arah hidup hambaNya berdasarkan aturanNya yang indah.
4 bulan intern di UMW, ana didedahkan dengan ilmu HSE. Tamat intern, ana mula berminat untuk sambung terus dalam bidang ini, kerana bagi ana, inilah satu-satunya jalan mudah untuk mencelah masuk ke industri Oil & Gas, walaupun terpaksa bermula dari zero untuk mempelajari apa itu HSE.

HSE terpakai untuk semua dan setiap organisasi/syarikat wajib ada HSE (terutama industri-industri berat). Jadi, dengan adanya asas dan ilmu HSE, anda boleh bekerja di pelbagai sektor dan industri. Sudah tentu, anda bebas memilih di industri mana anda mahu bekerja. Kalau taknak kerja makmal, tapi nak dekat dengan jurusan kimia (taknak lari bidang la senang cerita), kerja lah HSE di industri kimia - processing, refining, dan sebagainya. Jadi safety officer (certified) di chemical plant atau chemical lab




Kalau anda rasa anda nak kompetenkan diri sebagai pegawai HSE yang diiktiraf, anda bolehlah menjalani kursus berbayar di mana-mana organisasi safety & health seperti OSHA, NIBOSH, NIOSH dan sebagainya. Certified HSE officer lagi lah direbut-rebut orang.

Percayalah, anda mulakan dengan HSE, sebenarnya anda membuka peluang kerjaya yang sangat-sangat luas kepada diri anda sendiri kerana permintaan HSE sangat meluas sekarang.

Selamat membuat pilihan untuk masa depan.

:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~

Saturday 9 August 2014

.: Tips buat Resume - Ubaydullah :.

Insyaallah, ana akan cuba sedaya mampu untuk berkongsi tips bagaimana nak hasilkan resume yang mana bakal majikan akan tertarik (Insyaallah) untuk panggil interview (pengalaman ana sendiri). Dapat tak dapat tu, lain cerita. Dah panggil interview, kira bersyukur lah kan. Sekurang-kurangnya ada pengalaman menghadapi interview dan jika dapat kerja, itu adalah rezeki dari Allah SWT buat anda. Kalau betul-betul tekun, anda boleh buat ulangkaji bagaimana nak hadapi interview secara betul atau cara buat resume yang lebih betul (dari tips saya).

Resume yang baik adalah resume yang mampu menerangkan siapa anda secara ringkas tetapi padat. Tak perlu cerita tentang diri anda secara berjela-jela (panjang) macam buat karangan, dan tak lah terlalu ringkas sampai majikan tak tahu anda ini benar-benar nak mohon kerja atau tidak!

Disini, ana lampirkan contoh resume ana sendiri sebagai rujukan anda. Ana pun sebenarnya copy-and-paste resume orang lain juga dan kemaskini sebagai resume sendiri. Kekemasan dan susun atur maklumat dalam resume perlulah selaras agar ia nampak teratur dan profesional. Terpulang kepada anda nak ikut format resume sesiapa dan bagaimana, janji ia nampak kemas, bersih dan teratur.

Jom kita mulakan tips ini! 



Mukasurat pertama resume


Gambar (Photo) : 

Gambar yang diletakkan dalam resume perlulah yang terkini, dalam keadaan formal dan bersaiz passport. Elakkan dari meletakkan gambar posing selfie, gambar zaman kanak-kanak, gambar pakai tshirt dan sebagainya. Ini bagi melahirkan first impression yang baik kepada majikan tentang diri anda.

Ada majikan yang sporting, tak kisah langsung anda letak gambar macam mana, tapi itu hanya segelintir sahaja! Langkah selamat, letak yang OK dan terbaik.


Nama (Name) :

Nyatakan nama penuh anda secara jelas, terang dan nyata - recommended font - Arial : 11


Objektif (Objective) :

Jika perlu, nyatakan objektif anda menghasilkan resume ini. Untuk apa dan bagaimana anda mampu menyumbang kepada syarikat tempat kerja.


Butiran Diri (Personal Particulars) :

Nyatakan secara ringkas butiran diri (yang penting-penting sahaja) seperti tertera dalam contoh resume diatas. Tak perlu letak maklumat ahli keluarga lain.


Latarbelakang Pendidikan (Educational Background) :

Nyatakan latarbelakang pendidikan anda, sekurang-kurangnya nama sekolah menengah dan universiti pengajian anda. Bonus, letak keputusan akhir peperiksaan anda. Ada sesetengah majikan nak tengok keputusan terkini. 




Mukasurat kedua resume


Anugerah & Pencapaian ( Awards & Achievements) :

Nyatakan anugerah & pencapaian anda - sekolah menengah / universiti
INGAT! Tak perlu senaraikan kesemua anugerah dan pencapaian yang anda terima. 
Kalau anda ada 100 anugerah sekalipun, nyatakan sekurang-kurangnya 3 - 4 yang tertinggi / terkini sahaja.

Majikan taknak tengok resume tu jadi berhelai-helai macam karangan SPM!



Aktiviti Kokurikulum (Extra-Curricular Activities) : 

Nyatakan aktiviti kokurikulum anda - sekolah menengah / universiti

Kes yang sama macam anugerah dan pencapaian, tak perlu senaraikan semua aktiviti anda. Cukup hanya yang tertinggi atau yang terkini sahaja.


Pengalaman Kerja (Working Experiences) :

Bahagian ini sangat PENTING. 
Kebanyakan majikan nak ambil pekerja, mereka akan tengok kepada pengalaman kerja kita. Pengalaman kerja dapat membantu majikan menilai tahap kredibiliti calon pekerja dan jika diambil, di posisi mana seharusnya pekerja tersebut ditempatkan dalam syarikat. 

Jika anda ada apa-apa pengalaman kerja sebelum ini, nyatakan semuanya ( 3-4 kerja).

Misalnya, ana  lepasan universiti (fresh-grad), belum ada pengalaman kerja. Jadi nyatakan pengalaman ketika menjalani latihan industri saja. Kalau dah pernah bekerja, dan ingin memohon tempat kerja baru, nyatakan pengalaman kerja di tempat lama. 




Mukasurat ketiga resume (Last)


Kemahiran & Kebolehan (Skills & Abilities) :

Nyatakan kelebihan anda seperti tertera didalam contoh resume diatas. Kalau pandai guna apa-apa software pun, nyatakan. Mungkin dengan kelebihan itu, majikan tertarik nak ambil anda untuk posisi yang bukan kehendak anda. Janji dapat kerja kan?


Kekuatan Diri (Personal Strength) :

Ini berkaitan dengan soft-skills anda. Nyatakan apa kemahiran istimewa anda supaya resume ini nampak kukuh dan bertenaga! Majikan teringin nak tengok kemahiran anda ini diaplikasikan di tempat mereka sekiranya anda adalah insan pilihan.


References (Rujukan) : 

Nyatakan siapa rujukan anda agar majikan mudah nak berhubung bagi meminta pandangan rujukan anda sebelum mengambil anda sebagai pekerja mereka (ada sesetengah majikan sangat skema buat macam ni). Semangat betul nak ambil anda. hehe.



Resume anda sudah terhasil!

Alhamdulillah, ana harap dengan perkongsian tips ini serba sedikit dapat membantu anda untuk menghasilkan resume yang baik. Terpulang kepada anda untuk mengikuti tips ini atau tidak, pokoknya yang ana nak tekankan, kekemasan resume akan menghasilkan resume yang berkualiti dan mantap. 

Ingat, resume hanya dokumen pengenalan ringkas tentang diri anda. Jika dipanggil interview, disaat itulah anda bebas untuk menceritakan siapa diri anda secara berjela-jela (jika ditanya lah, jangan syok sendiri pula).

Salam Perjuangan.

:: Laa haulawala quwwata illah billahil 'aliyyil 'aziim ::
~be a professional for ad-deen : ibnkhayr~